TOKOH KOKURIKULUM

TOKOH MURID LELAKI SMK BANDAR SUNGAI PETANI 2011  
                             
                                                      MUHAMAD AMIRUL BIN CHE AMAT

 
 BIODATA TOKOH MURID LELAKI 2011

 
Beliau dilahirkan pada 27 Mei 1994 di Batu Gajah, Perak. Putera bongsu kepada Che Amat bin Harun dan Puan Seran Bt Laldin ini mendapat pendidikan awal di Tabika Perpaduan Pusat RT Petang, Daerah Kedah Tengah.
Pendidikan rendahnya bermula di Sekolah Rendah Taman Ria, Sungai Petani. Di sekolah inilah bakat bermain boling beliau dikesan. Semasa di Tahun 5, beliau telah dimasukkan di bawah program Latihan Sukan TERAS Kuala Muda Yan sehinggalah sekarang.
Beliau amat berterima kasih kepada Cikgu Hilmi Shaharudin Bin Che Ya iaitu jurulatih boling Sukan TERAS yang telah melatih beliau sejak tahun 2005 sehinggalah sekarang. Beliau juga amat menyanjung tinggi dorongan, pupukan semangat dan sumbangan kedua ibu bapanya yang berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk melihat kejayaannya dalam bidang sukan ini. Beliau juga amat menghargai sokongan Pengetua SMK Bandar Sungai Petani Puan Hajjah Hafsah Bt L. Hussin dan guru-guru di sekolah yang sentiasa memberi kata-kata perangsang untuk beliau setiap kali menyertai pertandingan.
 
SEJARAH PENGLIBATAN DAN KEJAYAAN
Penglibatan beliau secara serius bermula pada tahun 2005 apabila memenangi pingat di peringkat sekolah, peringkat MSSD dan MSSK. Beliau telah dipilih untuk mewakili Kedah Kategori Bawah 12 Tahun dalam Kejohanan Tenpin Boling MSSM 2006.

Selepas tamat persekolahan awal di SK Taman Ria, beliau melanjutkan pelajaran peringkat menengah di SMK Bandar Sungai Petani. Kekerapan memenangi pingat dalam sukan boling telah banyak mengharumkan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sungai Petani, sama ada di peringkat daerah, negeri, kebangsaan, mahupun antarabangsa. Pihak sekolah amat berbangga dengan pencapaian beliau, dan beliau telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Kokurikulum peringkat sekolah selama 3 tahun berturut-turut mulai tahun 2009 hingga 2011.

            Beliau seringkali mencatat kemenangan dalam kejohanan boling di peringkat MSSD dan MSSK setiap tahun sepanjang penglibatan beliau dalam sukan ini. Justeru itu,beliau telah dipilih sebagai penerima Anugerah Khas MSSK Tahun 2008. Beliau juga mewakili negeri Kedah dalam Kejohanan Tenpin Boling MSSM dari tahun 2005 sehingga tahun 2011.  Kecemerlangan beliau di peringkat MSSM ini telah membuka peluang kepada beliau mewakili Malaysia ke Kejohanan Tenpin Boling di Jakarta Indoneisia pada tahun 2009. Pada tahun 2009  juga beliau telah dianugerahkan Anugerah Putera MSSK (D) KMY.

            Dalam tahun 2010, beliau mencatat kejayaan besar dalam Kejohanan Tenpin Boling MSSM di Melaka apabila memenangi Pingat Emas Beregu, Pingat Perak All Event, Pingat Gangsa Master dan Pingat Gangsa Berpasukan Bawah 18 Tahun Lelaki. Pencapaian ini membuka peluang kepada beliau mewakili Kontinjen Kedah dalam SUKMA XIII di Melaka pada tahun 2010. Beliau berjaya menyumbang satu pingat Gangsa dalam SUKMA XIII. Pada tahun 2010 jugalah, beliau mendapat pendedahan baru di peringkat antarabangsa apabila dipilih untuk mewakili Malaysia dalam Kejohanan 12th Asian School di Kuala Lumpur.
            Dalam tahun 2011, kejayaan di peringkat MSSD, MSSK, MSSN berterusan dan sekali lagi beliau mewakili Malaysia dalam Kejohanan 13th Asian School di Bangkok pada bulan Julai yang lalu. Beliau telah memenangi Pingat Emas Acara Berkumpulan.

            Kemuncak penghargaan sepanjang penglibatan beliau ini adalah apabila beliau dianugerahkan Bintang Kebesaran iaitu Bintang Semangat Jerai (B.S.J) oleh Sultan Kedah sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke 83, di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah pada Mac yang lalu.

DETIK-DETIK KEJAYAAN



KEJOHANAN MSSM TAHUN 2011
DI MELAKA INTERNATIONAL BOWLING CENTRE, MELAKA
PENCAPAIAN : PINGAT EMAS BEREGU, PINGAT PERAK BERKUMPULAN